KUALA LUMPUR: Empat artis tanah air sedang menghitung hari untuk melahirkan anak tidak lama lagi iaitu Rozita Che Wan, Fasha Sandha, Ozlyn Waty dan Amyza Aznan.
Rozita yang sudah 16 tahun tidak mengandung dijadual akan melahirkan anak pertama hasil perkongsian hidupnya dengan Zain Saidin.
Jantina bayinya juga sudah diketahui iaitu perempuan.
Fasha Sandha pula dijangka melahirkan anak keduanya pada awal November depan.
Amyza yang dihubungi pula memberitahu mengikut jangkaan doktor, beliau dijangka melahirkan anak sekitar November ini tetapi berkemungkinan proses kelahiran itu akan dipercepatkan bulan depan.
"Ikutkan bayi dalam kandungan ini adalah anak keempat saya. Tapi saya pernah keguguran untuk anak yang ketiga.
"Dalam rasa teruja nak dapat bayi ini, terbit juga rasa takut. Kali terakhir saya bersalin enam tahun lalu.
"Jangkaan anak lelaki lagi. Anak sulung dan pertama saya pun lelaki. Alhamdulillah, impian nak melahirkan anak itu lebih daripada apa yang diharapkan. Biasalah apabila lahir anak, kita nak lagi menambah zuriat.
"Untuk kelahiran anak kali ini, Alhamdulillah ada pihak yang sudah berminat nak menaja saya semasa berpantang termasuklah urutan," katanya.
Amyza berkata, pada bulan kelima hamil, beliau masih berlakon untuk drama Dosa Seorang Suami bagi siaran TV3.
Fasha pula mengakui kehamilan keduanya ini cukup senang. Selepas ini anak sulungnya, Putra Rayfal akan mendapat adik.
"Cuma kali ini saya cepat rasa lenguh bahagian belakang kerana anak dalam kandungan ini saiz dan beratnya lebih besar dari Putra Rayfal.
"Suami saya pun teruja menantikan puteri sulung kami. Insya-Allah, semoga kandungan ini sihat sehingga saat melahirkan nanti," katanya.
Sementara itu, isteri kepada Johan Raja Lawak, Ozlyn menjelaskan beliau dijangka melahirkan anaknya sekitar bulan depan atau awal November.
"Ini anak keempat saya. Anak yang ada semuanya hero. Yang bakal lahir ini tak tahu jantinanya lagi.
"Bila buat pemeriksaan, bayi dalam perut ini tak mahu tunjuk jantinanya. Kalau dapat bayi perempuan ok juga," katanya.