Petaling Jaya - Tauke (Jambu) menganggap tindakannya membalas komen pengikut Instagram miliknya dengan kata-kata kesat adalah sebagai memberi pengajaran kepada individu berkenaan.
Tauke berkata, dia berbuat demikian kerana merasakan sikap pengikut tersebut keterlaluan apabila memberi komen yang disifatkan menjatuhkan maruahnya.
“Saya sedar sebagai selebriti perkara tersebut agak sensitif, namun bagi saya biarlah orang pandang buruk kepada saya asalkan individu tersebut tidak mengulangi perbuatannya itu.
“Jika saya tidak berbuat demikian, mungkin dia akan terus berani memberi komen negatif kepada orang atau artis lain pula. Saya harap pengikut yang lain juga lebih menghormati hak dan privasi seseorang artis,” ujarnya ketika dihubungi.
Menurut Tauke, dia berani menulis kata-kata kesat berikutan individu yang menulis status itu tidak mendedahkan identiti sebenar dirinya dan akaun itu diwujudkan juga adalah bertujuan memburuk-burukan seorang artis.
“Saya tengok akaun dia memang akaun palsu yang sengaja dibuat untuk mengutuk dan membuat fitnah sebab itu saya sengaja beri dia kata-kata begitu.
“Kita sendiri tidak tahu individu itu siapa, jadi sesuai sangatlah dia kena marah begitu, sebelum ini akaun yang sama juga selalu komen negatif di Instagram artis-artis lain,” ujarnya.
Ketika diminta mengulas tentang tindakannya membalas komen seorang individu yang menuduh dia sebagai ‘kaki perempuan’ gara-gara memuat naik gambar bersama seorang wanita tidak dikenali, beliau menegaskan bahawa perkara tersebut membuatkan pelawak itu berang dan membalas dengan perkataan yang agak kasar sehingga menimbulkan rasa kurang senang terhadap pengikutnya yang lain.
“Wanita dalam gambar tersebut merupakan salah seorang kru yang terlibat menjayakan program Super Spontan minggu lalu” jelasnya.